Rebutlah peluang 10 malam terakhir...mungkin Ramadhan ini yang terakhir buat kita..



Menghidupkan malam Qadr mempunyai fadilat yang amat banyak kerana Allah SWT menjadikan malam itu lebih baik dari seribu bulan. Sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda:
Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.
Dosa itu merangkumi sama ada dosa kecil ataupun dosa besar. Tetapi pendapat yang terkenal mengenai hadith ini menunjukkan kepada dosa kecil sahaja yang akan diampunkan. Dosa besar tidak akan diampunkan kecuali dengan taubat nasuha serta memenuhi syaratnya iaitu menyesal di atas perbuatan itu, berazam tidak tidak akan mengulangi untuk melakukan dosa dan memulangkan hak sesiapa yang diambil.
Imam Nawawi berkata: Telah maklum bahawa pengampunan dosa hanyalah untuk dosa-dosa kecil sahaja.
Qiyamullail
Menghidupkan malam Qadr boleh dilakukan dengan mendirikan solat terawikh, membaca Al-Quran, bertahajjud, berzikir dan berdoa.
Solat adalah merupakan bekal. Bila dilakukan di keheningan malam, maka ia semakin memperkaya bekal. Bangun pada waktu malam merupakan mujahadah untuk memperkuat tekad dan kehendak, mengalahkan syaithan, dan melatih jiwa untuk tunduk kepada Allah. Zikir kepada Allah dan membaca tasbih pada waktu malam merupakan santapan ruhani dan bekal bagi ruh serta hati.
Setiap kita pernah melakukan dosa dan tidak sempurna dalam melakukan kewajipan. Kerananya sangat tepat bila kita mengetuk pintu Allah pada waktu sahur untuk meminta keampunan dan rahmatnya. Sebab waktu itu adalah merupakan saat terkabulnya doa. Doa pada waktu malam yang paling menyenangkan dan paling afdal; di tengah malam yang hening seorang hamba merendahkan diri untuk meminta kepada Tuhannya, agar memperkenan permintaannya.
Abu Umamah ra. telah berkata bahawa seseorang bertanya telah bertanya; "Wahai Rasulullah, do'a apakah yang paling didengar oleh Allah? Rasulullah menjawab: Doa di malam yang terakhir dan di setiap solat wajib." [HR Muslim]
Doa pada waktu sujud itu amat penting, kerana waktu sujud adalah detik seseorang dekat dengan Tuhannya. Oleh itu, sangat tepat bila seorang Muslim bersungguh-sungguh berdoa saat itu. Dari Abu Hurairah ra., bahawasanya Ar-Rasul saw. bersabda: Sedekat-dekat hamba tuhan pada tuhannya adalah saat ia bersujud, kerana itu perbanyakanlah berdo'a (waktu sujud.) [HR Muslim, Abu Dawud dan An-Nasa'i]
Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Ar-Rasul saw. bersabda: Ketika malam sudah sampai sepertiganya yang terakhir, Allah turun ke langit dunia lalu berkata: Siapa yang berdoa kepadaku akan Aku perkenankan, dan siapa yang memohon ampun-Ku, akan Aku ampuni. [HR Bukhari dan Muslim]
Apakah patut kita menunda-nunda dan bermalas-malasan setelah janji yang menggiurkan seperti itu? Andai kata diumumkan kepada manusia: sesiapa yang datang pada malam tertentu, akan mendapat harta, daging segar, atau kekayaan dunia lainnya, tentu mereka akan segera datang dan berebut-rebut.
Rumah yang selalu dihidupkan dengan qiyamullail adalah rumah yang selalu dikunjungi malaikat, diliputi rahmat, dan dipenuhi kebahagiaan yang hakiki.
Hal yang dapat membantu kita untuk melakukan qiyamullail ialah:
  • Keikhlasan niat,
  • Memperkuat tekad,
  • Memperbaharui taubat,
  • Menghindari maksiat pada siang harinya,
  • Segera tidur,
  • Melakukan tidur siang hari, dan
  • Memohon bantuan dari Allah SWT.
Malam itu tidak ditetapkan dan ditentukan masanya, bahkan cuma diberitahu secara umum pada sepuluh malam yang terakhir yang terdiri dari malam-malam ganjil bulan Ramadan.
Ubadah bin al-Samit berkata bahawa pada suatu malam ar-Rasul saw. keluar untuk memberitahu kami mengenai malam Qadr. Tiba-tiba dua orang Islam sedang bertelagah. Lalu baginda bersabda, maksudnya:
Saya keluar untuk memberitahu kamu mengenai qiyamullail. Tiba-tiba sipolan dan sipolan telah bertelagah, lalu diangkat malam itu. Boleh jadi ianya lebih baik bagi kamu. Oleh itu carilah ia pada malam ke sembilan, ketujuh ataupun kelima.
Sebenarnya lailatul Qadr bukanlah diangkat disebabkan pertelagahan itu, tetapi yang diangkat itu ialah mengetahui dengan tepat, bila berlakunya malam Qadr. Ini dibuktikan melalui sabda baginda: Carilah ia.
Diikuti selepas itu dengan suatu peringatan bahawa pengangkatan ketentuan malam berkenaan itu adalah lebih baik melalui sabdanya: "Boleh jadi ianya lebih baik bagi kamu."
Ungkapan ini menjelaskan bahawa tidak memberi ketetapan malam tersebut adalah galakan untuk menghidupkan seluruh malam pada bulan itu ataupun sepuluh malam yang terakhir.
Malam... tanda-tanda dan waktunya
Allah swt. menetapkan bahawa waktu sebenar berlakunya malam Qadr tidak diberitahu secara jelas supaya manusia tidak bersikap malas. Sebaliknya Allah swt. menyembunyikan waktu terjadinya malam berkenaan supaya orang-orang Islam terus menghidupkan sebanyak masa yang mungkin sama ada pada waktu siang ataupun malam agar berterusan melakukan ibadat.
Hal yang demikian juga berlaku di dalam banyak perkara. Allah SWT menyembunyikan saat kematian dan waktu sampainya ajal supaya takut pada Allah berterusan dan seorang Muslim juga mentaati Tuhannya tanpa henti.
Ibnu umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda:
Carilah ia (malam Qadr) pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu merasa lemah atau letih, maka janganlah lagi dia ditewaskan pada tujuh malam terakhir.
Malam Qadr mempunyai banyak tanda dan alamat. Di antara tanda-tandanya ialah matahari terbit dengan sifat yang ia tidak mempunyai sinaran yang terik. Malamnya nyaman, tidak panas dan tidak pula sejuk, waktu pagi matahari terbit dalam warna kemerah-merahan.
Perkara utama yang sepatunya diingati ialah bahawa Malam Qadr adalah suatu malam yang penuh kelebihan dan kemuliaan. Setiap daripada kita perlu mengambil kesempatan untuk melakukan ibadat dan jangan sekali-kali menahan dirinya daripada menadah tangan untuk berdo'a. Dengan menyebut:
اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني
"Maksudnya: Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah diriku."
Imam Al-Sawi menyebut dalam kitab tafsirnya: Sebaik-baik doa yang dipinta pada malam itu ialah keampunan dan kesihatan.
Akhir kata, sama-samalah kita memohon kepada Allah agar memberi manfaat kepada kita dengan nilai-nilai kebaikan Ramadan serta bekal yang ada di dalamnya. Semoga Allah menjadikannya bermanfaat untuk kita.
[Daripada tulisan Abu Salman Said]

Dugaan Umat Islam Sweeden dan eropah





Umat Islam Di Sweden Berpuasa Lebih 18jam...

Tahukah anda, Umat Islam di Sweden mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan lebih sukar pada tahun ini ekoran terpaksa berlapar lebih lama, menjangkau 18 jam sehari kerana musim panas di utara Eropah. Ramadan tahun ini yang jatuh pada musim panas di mana waktu siangnya lebih panjang daripada biasa.

Sebagai contoh, pada Isnin lalu di bandar Umea di utara Sweden, terbit fajar bermula pada pukul 3.47 pagi waktu tempatan dan matahari terbenam pada pukul 9.41 malam, iaitu hampir 18 jam.

Presiden Liga Islam Sweden, Omar Mustafa berkata, ekoran isu itu, beberapa imam dan pertubuhan Islam berbeza pendapat tentang bagaimana penganut Islam di utara Eropah perlu berpuasa.namun belum ada sebarang keputusan berhubung perkara itu dicapai setakat ini, katanya.

Isu itu kini masih dibincangkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (ECFR) yang melibatkan imam-imam di seluruh Eropah.

“Ia terpulang kepada setiap individu untuk memutuskannya, tetapi itu tidak bermakna anda perlu berpuasa sepanjang hari".
“Islam memberikan umatnya banyak pilihan,”
kata Omar kepada akhbar Sweden, The Local.


Bagaimanapun cabaran itu sedikitpun tidak menjejaskan umat Islam di negara ini untuk menjalani ibadat berpuasa, malah menurut rangkaian pasar raya Coop, jualan mereka meningkat terutamanya barangan keperluan sepanjang Ramadan ini.

“Kami mendapati jualan buah- buahan, sayur-sayuran, daging halal dan kurma meningkat,” kata pegawai media Coop, Louise Stephan.

Menurut anggaran agensi separa kerajaan, terdapat kira-kira 200,000 penduduk Islam di Sweden daripada sembilan juta penduduk negara itu.

Seharusnya kita umat islam dinegara ini tidak perlu merunggut dan cuba untuk ponteng puasa, kerana rata-rata kita dinegara ini hanya berpuasa dalam lingkungan 13 jam setengah sahaja. berbanding sesetengah tempat yang tidak menentu tempoh masa nya,...

sesungguhnya ALLAH itu maha ADIL

Peristiwa 17 Ramadhan



Perayaan 17 Ramadhan adalah sebenarnya untuk mengingati Peperangan Badar yang berlaku pada tarikh tersebut.

Nuzul Quran iaitu hari turunnya Al-Quran sememangnya jatuh pada bulan Ramadhan tetapi kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa tarikhnya adalah pada 27 Ramadhan.

Peperangan Badar berlaku di sebuah tempat yang bernama Badar pada tahun ke 2 Hijrah. Ianya jatuh pada hari Jumaat 17 Ramadan pada tahun tersebut.

Islam sememangnya menerima tentangan dari orang kafir Quraisy sejak dari mulanya lagi, dari masa Islam mula diperkenalkan secara tertutup dan kemudiannya secara terang.

Ini akhirnya telah membawa kepada penghijrahan Rasullulah S.A.W dan orang Islam ke Madinah di mana penduduk di sana telah menerima mereka dan juga agama Islam.

Walau bagaimanapun keadaan orang Islam yang tinggal di Mekah menjadi semakin teruk dan ini mula merebak ke Madinah.

Perang Badar adalah peperangan yang pertama dalam Islam dan merupakan cara yang digunakan untuk membela keselamatan sosial dan politik mereka. Islam sememangnya tidaklah menggalakkan peperangan melainkan terpaksa. Ianya juga merupakan tindakan untuk mempertahankan kebebasan agama dan menyekat ajaran sesat yang berleluasa pada masa itu.

Pada tahun ke 2 Hijrah Rasulullah S.A.W serta sahabat bersetuju mempertahankan Islam di luar kota Madinah. Tentera Islam seramai 313 orang telah keluar untuk menyekat rombongan pedagang Mekah yang sedang pulang dari Syam.

Abu sufian yang mengetuai rombongan perdagangan Quraisy itu telah mengikut jalan lain untuk kembali ke Mekah dan sebuah bala tentera melebihi 1000 dan serba lengkap dengan peralatan perang telah datang untuk menentang tentera Islam. Kedua- dua pasukan telah sampai ke tempat bernama Badar pada 16 Ramadhan.

Tentera Quraisy telah bertahan di tempat yang ada air sementara tentera Islam berkhemah di tempat yang lebih kering. Allah telah menunjukkan kekuasaannya dengan menurunkan hujan yang lebat. Ini menyebabkan tempat orang Islam mendapat air sementara , air di tempat musuh menjadi berlumpur dan tidak sesuai digunakan.

Rasullullah S.A.W, bagaimanapun telah membenarkan orang Quraisy yang datang, mengambil air untuk kegunaan mereka.

Peperangan di Badar hanya berlanjutan untuk satu hari sahaja bermula dengan pertarungan perseorangan diikuti oleh peperangan terbuka. Seramai 70 orang Quraisy yang terdiri dari pahlawan handal dan pemimpin telah terkorban sementara 70 lagi menjadi tahanan perang. Hanya 14 orang Islam sahaja yang telah mati syahid tetapi Allah telah mengurniakan pahala syahid kepada kesemua mereka ynag telah mengambil bahagian dalam peperangan tersebut.

Peperangan Badar merupakan satu kejayaan besar bagi umat Islam. Ianya telah menukar idoelogi Islam kepada sebuah negara Islam yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Peperangan Badar memberi pengajaran kepada kita bahawa melaksanakan sesuatu tugas dengan kepercayaan kepada Allah serta keyakinan pasti membawa kejayaan. Insya Allah.. Wallahualam

Mari kita hayati video khas peristiwa Perang Badar







Selamat menyambut Nuzul Al-Quran...

Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw. Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.

Erti Nuzul al-Quran: ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

1 Nama-Nama Lain: Selain disebut al-Quran, ia juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain. Proses Penurunan al-Quran: Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun.13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Kehebatan al-Quran: Tuntutan al-Quran: Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya.

i.~Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
ii.~Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
iii.~Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya. Peringatan: 1.~Al-Quran untuk dibaca buka dijadikan perhiasan.

2.~Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.

3.~Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.

4.~Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah. Pesan Nabi saw: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis). Semoga Ramadan kali ini membawa rahmat buat kita semua.

Amin....